Menurut sejarah, Somalia adalah negara Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Khilafah Turki Uthmaniyah sebelum dijajah oleh Itali dan Inggeris. Panggilan rasmi mengikut Bahasa Arab
ialah Jumhuriyyat As-Sumal.
Somalia yang secara rasmi dinamakan Republik Somalia yang dulunya dikenali sebagai Republik Demokratik Somalia, merupakan sebuah negara di Tanduk Afrika (Horn of Africa). Ia bersempadankan Djibouti di barat laut, Kenya di barat daya, Teluk Aden dengan Yemen ke utara, Lautan Hindi ke timur, dan Ethiopia di barat.
Bahagian utara Somalia, juga dikenali sebagai British Somaliland kerana pernah dijajah oleh Inggeris mulai tahun 1886, manakala bahagian selatan, yang dipanggil Italian Somaliland kerana pernah dijajah oleh Itali pada tahun 1889.
Berikutan Perang Dunia Kedua, Inggeris merampas seluruh Somalia pada tahun 1949. Rakyat Somalia bangkit berjuang menentang penjajah Inggeris dan Itali dalam suatu pertarungan yang panjang sehingga British Somaliland mencapai merdeka pada tahun 1960 dan Italian Somaliland merdeka pada tahun 1965.
Kerajaan Somalia dipimpin oleh Presiden Abdirashid Ali Shermarke memerintah sehingga berlaku rampasan kuasa pada tahun 1969 yang diketuai oleh General Siad Barre and Ketua Polis Jama Korshel. Walaubagaimanapun, keadaan politik yang tidak stabil ini berterusan sehingga ke hari ini.
Mogadishu, kota terbesar yang juga ibu negara Somalia, terletak di wilayah Benadir di tepi Lautan India. Sebelum perang saudara pada 1991, Mogadishu yang mempunyai dua juta penduduk digelar White Pearl of the Indian Ocean berasaskan pada bangunan yang serba putih berlatar belakangkan kebiruan Lautan Hindi.
Selain itu, Mogadishu juga terkenal sebagai tempat kelahiran model ternama, Iman yang menjadi hiasan kulit majalah terkenal Vogue pada 1976. Iman dilahirkan pada 1955 di Mogadishu anak kepada seorang diplomat Somalia berkelulusan Sains Politik dari Universiti Nairobi. Iman menjadi model untuk Gianni Versace, Calvin Klein, Issey Miyake, Donna Karan dan Yves Saint Laurent. Iman Cosmetics yang mengeluarkan bahan kosmetik memperoleh pendapatan AS$25 juta setahun.
Somalia juga terkenal dengan aktiviti lanun samudera. Mengikut Biro Maritim Antarabangsa (IMB), lanun sudah menahan 42 kapal besar bersama 815 tebusan. Lanun Somalia pernah mengenakan wang tebusan sehingga AS$8 juta sebuah kapal, menggunakan bot laju berkuasa tinggi dan berkeupayaan menahan kapal sejauh 1,800 kilometer dari pantai Afrika. Jumlah kerugian kepada agensi perkapalan dan insurans dunia dianggarkan sebanyak AS$10 bilion setahun.
Berlakunya peningkatan serangan lanun Somalia di luar lautan luasnya adalah menjadi satu perkara banyak berkait dengan keadaan politik yang sangat huru-hara yang juga membawa kepada kemunduran di negara Somalia sendiri.

No comments:
Post a Comment